Siri Antarabangsa Belanda: Nurshuhaini & Myisha Bertembung Di Pentas Final
April 16, 2022 Hafizuddin Omar

Dua perseorangan badminton wanita muda negara, Siti Nurshuhaini Azman dan Myisha Mohd. Khairul berjaya menumpaskan lawan masing-masing untuk mara ke pentas akhir kejohanan Siri Antarabangsa Belanda 2022.

Nurshuhaini, 17 tahun, yang berada di kedudukan ke-314 dunia mengesahkan kemaraan selepas menundukkan pemain England, Abigail Holden secara ‘straight set’ dengan skor 21-18 dan 21-6 di peringkat separuh akhir, awal pagi tadi.

Manakala Myisha, berumur 19 tahun yang menghuni rangking ke-328 dunia pula mara selepas menyingkirkan pemain Hong Kong, Yeung Sum Yee menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan keputusan 17-21, 21-17 dan 21-6 di peringkat yang sama.

Kedua-dua kemenangan tersebut membolehkan mereka mara ke pentas akhir dan bertembung sesama sendiri untuk mencari juara bagi saingan bertaraf Gred 3 oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ini, pada malam nanti.

Berdasarkan rekod, kedua-dua pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ini belum pernah berentap sesama sendiri dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.

Untuk makluman semua, pemenang bagi kejohanan ini akan dapat mengutip 2,500 mata sementara naib juara akan membawa pulang 2,130 mata.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen