BAC 2022: Kisona Buat Perhitungan Semula Dengan Pemain Thailand No.27 Dunia
April 16, 2022 Hafizuddin Omar

Perseorangan wanita negara, Kisona Selvaduray bakal membuat perhitungan semula dengan pemain Thailand, Supanida Katethong dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 yang bermula pada 26 April kelak.

Berdasarkan kepada undian yang dijalankan semalam, ianya memperlihatkan Kisona, ranking 57 dunia dijadualkan berentap menentang pemain di kedudukan ke-27 dunia tersebut pada Pusingan 32 dalam saingan itu nanti.

Untuk pengetahuan semua, kedua-dua pemain baru sahaja menentang sesama sendiri dalam saingan Terbuka Swiss – Jelajah Dunia Super 300 BWF – pada penghujung bulan lalu.

Dalam kejohanan tersebut, Kisona dikalahkan oleh Supanida di suku akhir secara ‘straight set’ dengan skor 11-21 dan 12-21 sekaligus menyebabkan pemain negara berusia 23 tahun ini kempunan untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Sementara itu, tiga lagi pemain perseorangan wanita negara iaitu Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Myisha Mohd Khairul terpaksa melalui pusingan kelayakan terlebih dahulu.

Zhing Yi yang berada di ranking ke-1525 diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pemain Hong Kong, Yeung Sum Yee dan Jordan, Domou Amro.

Manakala Nurshuhaini, ranking ke-314 dunia pula berada dalam Kumpulan C bersama-sama pemain Korea, Seo Jin-lee dan Hong Kong, Saloni Samirbhai Mehta.

Terakhir sekali, Myisha di tangga ke-328 dunia diletakkan bersama-sama pemain Indonesia, Komang Ayu Cahya Dewi dan Filipina, Mikaela Joy De Guzman.

Untuk makluman, hanya pemain yang berjaya menjadi juara bagi setiap kumpulan di pusingan kelayakan sahaja dapat mara ke Pusingan 32 bagi saingan BAC.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen