Korea Masters: Pemain Muda Jepun Singkir Joo Ven Di Separuh Akhir
April 16, 2022 Hafizuddin Omar

Perjalanan perseorangan lelaki bebas (independent) negara, Soong Joo Ven dalam saingan Korea Masters 2022 – Jelajah Dunia Super 300 BWF -terhenti di peringkat separuh akhir.

Pemain berusia 26 tahun yang berada di ranking ke-68 dunia  ini terpaksa akur tumpas kepada pemain muda Jepun, Kodai Naraoka, 20 tahun, ranking ke-47 dunia, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Joo Ven tumpas pada set pertama dengan skor 17-21. Bagaimanapun, Joo Ven berhasil bangkit mencipta kemenangan pada set kedua dengan skor 23-21.

Akan tetapi, di set penentuan, Naraoka dilihat lebih mendominasi permainan dan pertarungan tersebut berhasil dimenanginya dengan kutipan mata yang cukup jauh iaitu 21-11.

Berdasarkan kepada catatan masa, pertarungan melibatkan kedua-dua pemain ini berlangsung dalam tempoh menghampiri satu jam dan 30 minit permainan.

Untuk makluman semua, ini merupakan pertemuan kedua melibatkan Joo Ven dan Naraoka di pentas antarabangsa. Pertembungan yang pertama lalu dalam saingan China Masters 2017 memihak kepada Joo Ven.

Sementara itu, Naraoka yang mara ke pentas akhir akan membuat perhitungan dengan pemain tuan rumah, Jeon Hyeok-jin (ranking ke-995) bagi merebut kejuaraan dalam kategori perseorangan lelaki Korea Masters, pada hari esok.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen