ACL 2022: Penjaga Gol Piala Dunia, Jo Hyeon-woo Gagal Sekat Kemenangan JDT
April 18, 2022 Hafizuddin Omar

Dua jaringan gagal disekat oleh penjaga gol Ulsan Hyundai, Jo Hyeon-woo menyebabkan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mencipta kemenangan kedua dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022.

Jo yang pernah beraksi dalam kancah Piala Dunia 2018 bersama skuad kebangsaan Republik Korea bolos dua gol yang dijaringkan oleh Fernando Forestieri dan Bergson da Silva pada minit ke-3 dan minit ke-79 masing-masing.

Kelab pendahulu Liga Korea pada ketika ini merangkap juara ACL 2020 hanya menyumbat satu gol hasil sumbangan Um Won-sang pada minit ke-52 untuk mengikat skuad Harimau Selatan buat seketika waktu.

Bagaimanapun, selepas jaringan yang dilakukan oleh Bergson, pemain-pemain Ulsan seakan-akan ‘mati akal’ untuk mencari satu lagi gol bagi menyamakan kedudukan agar dapat mengutip sekurang-kurangnya satu mata – gagal sama sekali.

Jaringan 2-1 itu kekal sehingga tamat masa permainan sekaligus memberikan skuad JDT bimbingan Benjamin Mora tiga mata yang kedua. Ia menjadikan JDT mempunyai enam mata dan menduduki tangga pertama dalam Kumpulan I selepas dua perlawanan.

Menduduki tangga kedua dalam Kumpulan ini adalah juara bertahan Liga Jepun, Kawasaki Frontale dengan empat mata selepas dua perlawanan.

Pasukan dari Jepun ini akan turun menentang JDT pada perlawanan ketiga. Ia dijadualkan berlangsung pada Khamis ini (21 April) dengan sepak mula pada jam 10 malam.

Untuk makluman semua, Jo Hyeon-woo yang berusia 30 tahun pernah menarik perhatian ramai peminat bola sepak dunia selepas menampilkan aksi cemerlang di pentas Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Rusia.

Ketika itu, dia beraksi di dalam ketiga-tiga perlawanan dalam Kumpulan F menentang Sweden, Mexico dan paling diingati merekodkan ‘clean sheet’ ketika menentang pasukan juara bertahan,  Jerman.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers & Ulsan Hyundai

Komen