Artikel

Ranking BWF: Myisha & Siti Catat Peningkatan Ketara, Jin Wei Di Tangga Ke-77 Dunia

Juara dan naib juara bagi kategori perseorangan wanita dalam kejohanan Siri Antarabangsa (International Series) Belanda 2022 mencatatkan peningkatan yang sangat ketara dalam kedudukan ranking dunia, pada minggu ini.

Berdasarkan kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, Myisha Mohd. Khairul dan Siti Nurshuhaini Azman yang muncul juara dan naib juara di kejohanan merekodkan lonjakan sebanyak 73 dan 58 anak tangga masing-masing.

Hasil daripada lonjakan tersebut, pemain yang berusia 19 dan 17 tahun masing-masing ini berada di ranking ke-255 dan ke-256 untuk minggu ke-16 ini.

Sementara itu, satu lagi lonjakan kedudukan ranking dunia dikesan melibatkan pemain perseorangan wanita bebas (independent) berusia 22 tahun, Goh Jin Wei hasil daripada kemaraan sehingga ke Pusingan 16 dalam kejohanan Korea Masters, minggu lepas.

Dengan kemaraan tersebut, Jin Wei merekodkan peningkatan sebanyak 11 anak tangga menjadikan dia kini menghuni ranking ke-77 dunia.

Pada masa yang sama, kemaskini itu turut memperlihatkan sedikit penurunan ranking melibatkan Kisona Selvaduray dan Eoon Qi Xuan. Kedua-dua mereka turun sebanyak satu dan tiga anak tangga dan kini menduduki ranking ke-58 dan ke-154 masing-masing.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia & Instagram Goh Jin Wei

komen