Pemain bebas (independent), Soong Joo Ven kini meletakkan dirinya sebagai perseorangan lelaki No.4 negara selepas daripada Lee Zii Jia (ke-7), Liew Daren (ke-35) dan Ng Tze Yong (ke-44).
Berdasarkan kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, pemain berusia 26 tahun ini menduduki tangga ke-55 dunia pada minggu ini mengatasi Cheam June Wei yang berada di ranking ke-69.
Kedudukan itu diraih hasil daripada lonjakan sebanyak 13 anak tangga yang disumbangkan oleh kecemerlangannya mara ke pentas separuh akhir Korea Masters – Jelajah Dunia Super 300 BWF, minggu lalu.
Bagaimanapun, Joo Ven kempunan untuk ke pentas akhir setelah tumpas di tangan pemain muda Jepun, Kodai Naraoka di peringkat separuh akhir terbabit.
Sementara itu, kemaskini itu turut memperlihatkan sedikit penurunan melibatkan beberapa perseorangan muda negara.
Antaranya, Aidil Sholeh dan Leong Jun Hao yang berusia 22 tahun masing-masing merekodkan penurunan satu anak tangga menjadikan mereka berada di kedudukan ke-113 dan ke-122.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia