Artikel

Rumusan Salah, Sangat Mudah Jaringkan Gol Lawan Man Utd

Penyerang prolifik Liverpool dan Liga Perdana Inggeris (EPL), Mohamed Salah merumuskan menjaringkan gol menentang pasukan Manchester United (Man Utd) pada musim ini adalah sangat mudah.

Reaksi tersebut diberikannya selepas daripada perlawanan menentang skuad Red Devils di Anfield, awal pagi tadi, waktu Malaysia. 

Dalam perlawanan tersebut, pemain kelahiran Mesir ini berhasil menjaringkan dua gol membantu pasukannya memenangi perlawanan dengan keputusan 4-0.

“Barisan tengah dan (pertahanan Liverpool) menjadikan tugas kami lebih mudah, mereka sentiasa cuba memberikan bola kepada kami dalam situasi satu lawan satu. Jadi, mereka memudahkan hidup kami.

“Kami tidak bolos (clean sheet) di sini, tidak bolos di sana (Old Trafford), jadi mereka memudahkan hidup kami untuk jaringkan gol.

“Kami mahu jaringkan satu gol, apabila kami dapat yang pertama, kami mahu jaringkan yang kedua, apabila kami dapat yang kedua, kami cari yang ketiga. Saya rasakan ini merupakan prestasi terbaik daripada kami di sini (Anfield) dan juga di sana (Old Trafford).

“Harapnya kami dapat kekalkan (prestasi) seperti ini.” kata Salah seperti dipetik daripada laman sesawang rasmi Liverpool.

Sebagai rekod, penyerang berusia 29 tahun ini menjaringkan lima gol dalam dua perlawanan EPL menentang Man Utd di gelanggang lawan dan laman sendiri. Ketika itu, Liverpool merekodkan kemenangan 5-0 ke atas Man Utd.

Pada masa yang sama, Salah turut mendahului senarai penjaring terbanyak EPL dengan rekod 22 gol setakat ini.

Featured Image: Liverpool FC

komen