Kelab London, Fulham Kembali Semula Ke Kancah Liga Perdana Inggeris
April 20, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan yang berpangkalan di London, Fulham FC berhasil mengesahkan promosi kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menundukkan Preston North End, awal pagi tadi, waktu Malaysia.

Dalam perlawanan ke-42 Liga Kejuaraan tersebut, Fulham yang beraksi di halaman sendiri, Craven Cottage merekodkan kemenangan 3-0 hasil dua jaringan oleh Aleksandar Mitrovic (9’ dan 41’) serta satu jaringan daripada Fabio Carvalho (34’).

Jaringan berganda daripada pemain Serbia itu juga menjadikan Mitrovic menghuni carta penjaring terbanyak saingan Liga Kejuaraan dengan rekod 40 gol setakat ini.

Walaupun saingan divisyen kedua bola sepak Inggeris itu masih berbaki empat perlawanan lagi, Fulham yang memiliki 86 mata telah memastikan promosi automatik ke EPL menjadi miliknya secara matematik.

AFC Bournemmouth di tangga kedua kini mempunyai 77 mata hasil daripada 41 perlawanan. Di tangga ketiga dan keempat pula adalah Huddersfield dan Luton Town dengan 73 dan 71 mata hasil daripada 43 perlawanan masing-masing.

Sekiranya Fulham yang dibimbimg oleh Marco Silva ini tumpas dalam kesemua baki empat perlawanan terakhir, manakala tiga pencabar di bawahnya memenangi kesemua perlawanan, Fulham masih berada di tangga kedua dan muncul selaku naib juara EFL musim ini.

Sebagai rekod, lima musim terakhir ini menyaksikan Fulham beraksi dalam saingan Liga Kejuaraan dan EPL secara berselang-seli bermula musim 2017-18. 

Featured Image: Neeskens Kebano & Fulham FC

Komen