Artikel

Piala FA: Derbi Lembah Klang Hiasi Keputusan Undian Pusingan Kedua

Majlis undian untuk pusingan kedua bagi saingan Piala FA 2022 yang berlangsung pada hari ini menyaksikan beberapa pertembungan menarik.

Paling mencuri tumpuan adalah melibatkan derbi Lembah Klang yang menemukan Selangor FC menentang skuad bimbingan Bojan Hodak, Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Untuk makluman, kedua-dua pasukan ini telah pun bertemu dalam perlawanan pertama Liga Super yang berkesudahan dengan keputusan seri 3-3.

Sementera itu pemenang perlawanan antara Terengganu FC atau Negeri Sembilan FC pada 29 April kelak akan melayan kunjungan juara bertahan kendalian Aidil Sharin Sahak, Kedah Darul Aman FC.

Juara Liga Super 2021, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula diundi menentang skuad bimbingan jurulatih berpengalaman B. Satianathan, Sarawak United di Stadium Sultan Ibrahim.

Satu lagi pertembungan melibatkan dua pasukan daripada saingan Liga Super adalah Melaka United menentang pasukan yang semakin mencuri tumpuan dengan ‘DNA’ tanpa pemain import, Petaling Jaya City FC (PJ City). Perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Hang Jebat.

Skuad kendalian bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee iaitu Sabah diundi menentang pasukan Liga Premier, Kelantan United di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Sementara itu finalis Piala FA 2019, Perak FC akan menerima kunjungan pasukan Liga Super iaitu Penang FC di halamannya sendiri. Manakala pasukan Liga M3, Perlis United pula akan menerima saingan daripada Kuching City.

Akhir sekali, pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Sri Pahang bakal berhadapan dengan Skuad Projek FAM-MSN.

Featured Image: Kuala Lumpur City

komen