Tuchel Dakwa Padang Stamford Bridge ‘Bermasalah’ – Punca Chelsea Kalah Kepada Arsenal
April 21, 2022 Hafizuddin Omar

Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel mendakwa padang di Stadium Stamford Bridge menjadi antara penyumbang kekalahan besar pasukannya kepada kelab seteru setempat, Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi waktu Malaysia.

Ianya dilihat seperti satu alasan ‘murahan’ oleh pengurus kelahiran Jerman itu bagi menutup kekalahan yang dialami oleh Chelsea. Namun, Tuchel menjelaskan dengan lebih lanjut permasalahan itu ketika situasi salah seorang pertahanannya mahu mengawal bola pada babak pertama.

“Keadaan padang menyukarkan kami untuk beraksi, ini mungkin kedengaran seperti alasan (tidak munasabah) tetapi padang ini memang menyukarkan kami, tidak menepati selera kami.

“Bola (dilihat) melantun-lantun dengan sangat pelik (ketika) di hadapan Andreas (Christensen) apabila dia mahu mengawal bola tersebut.” katanya seperti dipetik daripada Sky Sports.

Pada masa yang sama, jurulatih berusia 48 tahun ini juga menyatakan kekalahan dengan 4 jaringan ini bukan berpunca daripada kesalahan mana-mana individu. Jumlah bolos ini berpunca daripada masalah defensif serta prestasi seluruh pasukan.

Dalam perlawanan tersebut skuad The Blues yang beraksi di laman sendiri terpaksa akur dengan kekalahan 2-4. Empat jaringan oleh skuad The Gunners dihasilkan oleh Eddie Nketiah (13’ & 57’), Emile Smith Rowe (27’) dan Bukayo Saka (90+2’). 

Sementara itu, dua jaringan Chelsea pula disumbangkan oleh Timo Werner (17’) dan Cesar Azpilicueta (32’).

Featured Image: Chelsea Football Club

Komen