ACL 2022: Juara Liga Malaysia & Juara J-League Sama-Sama Hebat 
April 22, 2022 Hafizuddin Omar

Aksi ketiga dalam Kumpulan I dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 menemukan juara Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara J-League, Kawasaki Frontale.

Bukan sahaja membawa status sebagai juara bertahan, kedua-dua pasukan juga merupakan pendahulu bagi saingan liga masing-masing pada musim ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada malam tadi, walaupun JDT telah merekodkan dua kemenangan berturut-turut, mereka tetap turun dengan label pasukan ‘underdog’.

Namun begitu, setelah mengharungi lebih 90 minit permainan di atas padang, tiada apa yang dapat memisahkan antara skuad kendalian Benjamin Mora dan Toru Oniki dimana ianya berakhir dengan seri tanpa sebarang jaringan. 

Berdasarkan statistik, JDT yang ditunjangi gabungan pemain import, pemain berdarah campuran dan pemain tempatan dilihat mendominasi aspek percubaan serta percubaan tepat ke sasaran. Manakala, Kawasaki pula memegang aspek penguasaan bola. 

Sementara itu, dengan keputusan ini, JDT dan Kawasaki berhasil memungut satu mata masing-masing. Ianya membolehkan skuad Harimau Selatan kekal mendahului carta Kumpulan I dengan pungutan 7 mata dan diekori dengan Kawasaki, 5 mata.

Untuk makluman, kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi untuk aksi keempat bagi Kumpulan I dalam saingan ACL 2022. Ianya dijadualkan berlangsung pada Ahad nanti (24 April) dengan sepak mula pada jam 10 malam.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers 

Komen