Tanggungjawab pemain tengah kacukan Australia-Malaysia, David Rowley bersama pasukan Sri Pahang FC sedikit berbeza berbanding pasukan-pasukan yang disertainya sebelum ini.
Menurut pemain berusia 32 tahun itu, bersama Sri Pahang kendalian jurulatih kelahiran Perancis, Christophe Gamel pada musim ini, dia diarahkan untuk memberikan tumpuan lebih kepada aspek bertahan di kawasan tengah.
Ini merupakan sesuatu yang berbeza buat Rowley memandangkan sebelum ini dia lebih banyak bertumpu kepada aspek menyerang dan melorongkan bola kepada rakan sepasukan semasa menyerang.
“Jurulatih, Gamel banyak menekankan saya untuk fokus pada aspek bertahan di bahagian tengah dan tidak terlalu naik ke atas semasa kami menyerang.
“Ini satu tugas baru bersama Sri Pahang untuk musim ini dan saya perlu mengikut apa jua arahan disampaikan jurulatih.
“Namun, saya masih boleh juga membantu pasukan pada situasi sepakan penjuru cuma tuah untuk lakukan jaringan belum lagi hadir,” katanya.
Untuk perlawanan seterusnya, Rowley bakal turun menentang bekas pasukannya, Penang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pada malam esok.
Dan Rowley menjangkakan pertembungan antara Sri Pahang menentang bekas pasukannya itu akan berlangsung sengit memandangkan kedua-duanya terdesak untuk mencipta kemenangan suluang pada musim ini.
“Kedua-dua pasukan dalam situasi terdesak bagi mencari kemenangan pertama pada musim ini dan saya jangkakan aksi sengit bakal terjadi di Darul Makmur.
“Saya masih menghormati Penang FC, yang merupakan bekas pasukan saya pada musim lalu dan mereka masih pasukan yang baik.
“Tomas Trucha adalah antara jurulatih terbaik yang saya kenali dan biarpun dengan bajet kecil, beliau masih mampu membawa pasukan dengan baik sejak musim lalu.
“Namun, Sri Pahang juga dahagakan tiga mata dan kami mahu bangkit setelah tidak bernasib baik dalam beberapa perlawanan yang lalu, jika menang, saya percaya ia mampu menjadi titik kebangkitan pasukan dalam pentas Liga Super,” jelasnya.
Sebagai rekod, selain Penang, Rowley turut pernah beraksi bersama Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah.
Featured Image: Sri Pahang FC