Nampaknya kemarau kemenangan pasukan berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC ke atas Terengganu FC semakin berlanjutan menjadi lapan perlawanan.
Ini selepas skuad yang terkenal dengan julukan Red Giants itu tumpas dalam aksi terbaru Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA), sebentar tadi.
Dalam perlawanan tersebut, Terengganu yang dibimbing oleh Nafuzi Zain berhasil merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Selangor hasil jaringan Faisal Halim dan Tchetche Kipre (P) pada minit ke-19 dan ke-59 masing-masing.
KEPUTUSAN MASA PENUH – LS6#LigaSuper2022 pic.twitter.com/f2sHx598Pa
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 22, 2022
Bukan sahaja merekodkan kemenangan tanpa bolos, Terengganu yang beraksi sambil disaksikan sekitar 4500 penonton di stadium turut mendominasi daripada segi aspek jumlah percubaan serta mempamerkan corak serangan yang cukup meyakinkan.
Sebagai rekod, kali terakhir Selangor meraih kemenangan ke atas Terengganu adalah dalam saingan Liga Super 2019 di Stadium Shah Alam. Pada saat itu, Selangor berhasil meraih kemenangan 1-0 hasil jaringan Faiz Nasir.
Perlawanan-perlawanan berikutnya, Selangor sekadar meraih samada keputusan seri atau kalah.
Rekod tujuh perlawanan berikutnya adalah seperti berikut:
Liga Super 2019: Terengganu 1-0 Selangor
Liga Super 2020: Terengganu 3-3 Selangor
Liga Super 2021: Terengganu 3-1 Selangor
Liga Super 2021: Selangor 1-2 Terengganu
Piala Malaysia 2021: Terengganu 2-1 Selangor
Piala Malaysia 2021: Selangor 1-3 Terengganu
Perlawanan Persahabatan 2022: Selangor 0-2 Terengganu