Artikel

ACL 2022: Turunkan ‘Skuad Simpanan’ – JDT Alami Kekalahan Pertama Dalam Kumpulan I

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 selepas menurunkan ‘skuad simpanan’ pada perlawanan keempat peringkat Kumpulan I, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, skuad kendalian Benjamin Mora itu tidak memulakan beberapa pemain kesebelasan utama yang berhasil merekodkan keputusan seri menentang Juara J-League, Kawasaki Frontale pada perlawanan ketiga, Khamis lalu.

Pemain-pemain tersebut ialah Bergson da Silva, Natxo Insa, Leandro Velazquez, Shahrul Saad dan Arif Aiman Hanapi. Menggantikan pemain-pemain ini ialah Bienvenido Maranon, Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah, Hong Wan dan Mauricio.

Dan perlawanan ini berkesudahan dengan JDT ‘diratah’ oleh Kawasaki dengan kekalahan 0-5 hasil jaringan Yasuto Wakizaka (14’), Yu Kobayashi (31’,43’), Marcinho (81’) dan Chanatip Songkrasin (88’).

Kekalahan ini bukan sahaja menyebabkan JDT gagal meraih sebarang mata malahan kedudukannya di tangga pertama Kumpulan I turut berjaya dirampas oleh Kawasaki. Ini menjadikan JDT turun satu anak tangga dan menghuni tangga kedua – berkongsi 7 mata bersama wakil Korea, Ulsan Hyundai.

Namun begitu, peluang JDT untuk mara ke peringkat kalah mati masih lagi terbuka luas dalam baki dua perlawanan berikutnya. Untuk perlawanan seterusnya, JDT akan bertemu wakil China, Guangzhou FC buat kali kedua. Ianya dijadualkan berlangsung pada Rabu ini dengan sepak mula jam 10 malam.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen