Syarifuddin Tamat Di Kedudukan Ke-24 Dalam Perlumbaan Moto3 di Portugal
April 25, 2022 β€’ Hafizuddin Omar

Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman yang mendapat peluang untuk beraksi dalam saingan Kejuaraan Dunia Moto3 menamatkan perlumbaan pertamanya untuk musim ini di Portugal di kedudukan ke-24.

Keputusan ini menjadikan pelumba berusia 20 tahun ini gagal meraih sebarang mata daripada perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Algarve, semalam.

Pelumba yang dikenali ramai dengan panggilan Damok itu memulakan perlumbaan dari petak ke-20. Damok yang menunggang jentera Honda bersama pasukan Rivacold Snipers Team itu menamatkan perlumbaan tersebut dalam tempoh 39 minit 0.714 saat.

Untuk makluman semua, Damok mendapat peluang untuk beraksi dalam perlumbaan Moto3 bagi menggantikan pelumba Snipers Team, Alberto Surra yang diketepikan ekoran kecederaan untuk dua perlumbaan.

Ini bermakna Damok boleh menebus kekecewaannya dalam perlumbaan semalam pada dalam perlumbaan Moto3 seterusnya di Sepanyol.

Perlumbaan berikutnya akan berlangsung di Litar Jerez, bermula 29 April hingga 1 Mei kelak.

Featured Image: Snipers Team

Komen