Pendatang baharu Liga Super, Negeri Sembilan membuat kejutan dengan menumpaskan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City (KL City) dalam perlawanan liga yang berlangsung malam tadi.
Mengulas mengenai kekalahan tersebut, pengendali KL City, Bojan Hodak menjelaskan jaringan pertama adalah berpunca daripada tindakan pemainnya tidak melakukan lompatan untuk merebut bola daripada Herold Goulon.
Oleh sebab itu, Goulon berjaya melakukan ‘free header’ sekaligus membuka jaringan sulung perlawanan pada minit ke-47.
📹 HIGHLIGHTS: @nsfc1923 2-1 @KLCityFootball
Herold Goulon menjaringkan dua gol untuk membolehkan Negeri Sembilan meraih kemenangan ketiga musim ini.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/TFpgWa5jfT
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 24, 2022
Manakala jaringan kedua pula disebabkan oleh pertahanan dan pemain tengah KL City berada dalam keadaan santai serta tidak segera bertindak untuk mengeluarkan daripada kawasan bahaya sebelum disudahkan dengan cemerlang oleh Goulon buat kali kedua.
“Untuk gol ketiga (perlawanan), pertahanan dan pemain tengah saya duduk dalam kedai kopi, tiada siapa datang selepas bola terlepas daripada penjaga gol kerana dia diberikan tekanan.” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Tambah Bojan lagi, secara keseluruhannya skuad beraksi dengan baik kecuali di bahagian serangan yang menterjemahkan peluang kepada jaringan serta barisan pertahanan yang bolos dua gol.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Paroi itu, KL City berhasil meraih satu gol hasil jaringan sendiri Sean Selvaraj pada minit ke-75 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Bagaimanapun kedudukan seri itu hanya bertahan selama seminit sahaja dan Negeri Sembilan yang dibimbing oleh K. Devan kembali mendahului 2-1 selepas daripada itu. Kedudukan itu kekal sehingga tamat masa permainan dan Negeri Sembilan berjaya mengutip tiga mata penuh.
Featured Image: Malaysian Football League