Prestasi luar biasa yang dipamerkan penyerang veteran, Amri Yahyah, sehingga meledak hatrik ketika membenam Kedah Darul Aman FC 4-0 di Stadium Likas mendapat pujian daripada pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.
Bekas pengendali skuad kebangsaan itu percaya rekod yang dilakar Amri selaku pemain paling berusia meledak hatrik di Liga Malaysia, tidak akan dipecahkan oleh mana-mana pemain lain pada masa akan datang.
“Amri kita tahu pemain yang cukup berpengalaman dan bermain agak baik walaupun telah berusia 41 tahun.
“Saya percaya rekod jaringan hatrik beliau sebagai pemain paling berusia dalam saingan Liga Malaysia akan bertahan lama dan tidak akan ada mana-mana pemain mampu lakukan seperti Amri.
“Ini membuktikan kemampuan Amri serta beri keyakinan untuk dirinya malah beliau harus menjadi contoh pemain-pemain muda Sabah untuk bermain seperti beliau,” katanya.
Tambahnya lagi, Amri perlu dijadikan ikutan oleh semua pemain skuad The Rhinos terutamanya generasi muda kerana masih mampu mengekalkan prestasi cemerlang walaupun sudah menginjak ke usia 40-an.
Dalam perlawanan tersebut, Amri menjaringkan tiga gol yang cukup menarik di separuh masa kedua pada minit ke-51, ke-61 dan ke-72 manakala satu lagi gol menerusi sepakan percuma yang diambil, Park Tae-su pada minit ke-56.
Di sebalik jaringan hatrik oleh Amri itu, kemenangan yang dicipta oleh Sabah itu turut membolehkan The Rhinos merampas kedudukan kedua Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Featured Image: Sabah Football Club