Artikel

Juventus Intai Kerjasama Dengam FAM – Skuad Muda Kebangsaan Berpeluang Berlatih di Turin

Kelab gergasi bola sepak Itali, Juventus dimaklumkan sedang mengintai peluang untuk menjalinkan kerjasama dua hala yang bertujuan memperkasakan lagi bola sepak terutama di peringkat akar umbi serta belia bersama badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Hasrat kelab yang mendapat julukan ‘The Old Lady’ itu disampaikan selepas delegasi Juventus FC diwakili oleh, Pengarah Urusannya, Federico Palomba dan Pengurus Jualan Kerjasama, Kelvin Leung melakukan kunjungan hormat bertemu Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin di Wisma FAM, semalam.

Menerusi perbincangan awal, pemain muda negara khususnya skuad Bawah 17 Tahun (B-17) kebangsaan akan diberi peluang untuk menjalani latihan di Akademi Juventus yang berpangkalan di Turin.

“Juventus berminat dan meninjau peluang untuk bangunkan program pertandingan bola sepak di peringkat junior.

“Kerjasama ini berpotensi membawa manfaat kepada bola sepak Malaysia. 

“Dengan reputasi sebagai gergasi Itali, Juventus berhasrat berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia. 

“Mereka juga bercadang beraksi dalam perlawanan pertunjukan di negara kita dalam tempoh di antara Disember 2022 dan Julai 2023.

“Juventus juga inginkan Malaysia membuat kunjungan balas bagi meninjau kemudahan ke ibu pejabat dan fasiliti serba lengkapnya di Turin,” kata Hamidin seperti dipetik daripada laman sosial rasmi FAM.

Tambah Hamidin, pihak Juventus juga meninjau potensi untuk membuka akademinya di negara ini.

“Pemain kanak-kanak di peringkat akar umbi berpeluang menguji kemampuan masing-masing dengan turut serta dalam saingan Akademi Piala Dunia Juventus.

“Apa yang saya lihat menerusi perbincangan awal ini, potensi jalinan kerjasama antara Juventus dan FAM mampu mendedahkan bakat tempatan kepada corak latihan sebuah kelab gergasi Eropah,” katanya lagi.

komen