Menjelang tamatnya saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, pemain tengah kelahiran Perancis, Paul Pogba dilaporkan telah meninggalkan WhatsApp Group yang menghimpunkan pemain-pemain Manchester United (Man Utd).
Menurut laporan Mirror Football, pemain berusia 29 tahun itu memaklumkan kepada rakan sepasukannya akan meninggalkan Man Utd pada jendela musim panas nanti sebelum bertindak ‘left group’.
Difahamkan, pemain yang memenangi Piala Dunia 2018 bersama Perancis itu telah mendapat tawaran daripada dua buah kelab iaitu Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG). Dengan kontraknya bersama Man Utd akan tamat pada 30 Jun kelak, kedua-dua kelab tersebut boleh mendapatkan khidmat Pogba secara percuma.
🚨 Ralf has provided an update on @PaulPogba 👇#MUFC | #ARSMUN
— Manchester United (@ManUtd) April 22, 2022
Dimaklumkan, persembahannya semasa Man Utd tewas 0-4 kepada Liverpool di Anfield pada minggu lalu menjadi penampilan terakhirnya bersama skuad Red Devils.
Sebagai rekod, Pogba menyertai Man Utd daripada Juventus sekitar Ogos 2016 dengan yuran perpindahan berjumlah £89 juta dengan kontrak selama lima tahun serta pilihan untuk lanjutan selama setahun.
Sejak menyertai Man Utd, Pogba telah tampil sebanyak 233 kali, menjaringkan 39 gol serta 51 bantuan gol. Selain itu, bersama Man Utd, Pogba turut meraih dua kejuaraan iaitu Piala Liga dan Liga Europa.