Artikel

BAC 2022: Juara & Naib Juara Belanda Kandas Di Peringkat Kelayakan – Gagal Ke Pusingan 32

Dua perseorangan wanita muda negara, Myisha Mohd. Khairul dan Siti Nurshuhaini Azman gagal mara ke Pusingan 32 Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022.

Kegagalan kedua-dua pemain yang masih segar dengan kejayaan merangkul juara serta naib juara Siri Antarabangsa Belanda pertengahan April lalu disebabkan tumpas pada perlawanan kedua peringkat kelayakan dalam Kumpulan D dan C masing-masing.

Myisha, 19 tahun, tumpas kepada pemain Indonesia, Komang Ayu Cahya Dewi secara ‘straight set’ dengan skor 18-21 dan 9-21 dalam tempoh masa sekitar setengah jam.

Sebelum itu, Myisha berhasil merekodkan kemenangan pada perlawanan pertama dengan menundukkan pemain Filipina, Mikaela Joy De Guzman dengan skor 13-21, 21-15 dan 21-14.

Ini menjadikan Myisha menamatkan saingan Kumpulan D di tangga kedua dan Komang Ayu Cahya Dewi pula muncul sebagai juara kumpulan.

Beralih kepada Siti pula, dia gagal mara selepas tumpas kepada pemain Korea, Seo Jin-lee pada perlawanan kedua juga secara ‘straight set’ dengan skor 13-21 dan 17-21 dalam tempoh masa 35 minit.

Pada perlawanan pertama, pemain berusia 17 tahun ini berhasil merekodkan kemenangan ke atas pemain Hong Kong, Saloni Samirbhai Mehta dengan skor 21-17, 16-21 dan 21-18 dalam tempoh masa 45 minit.

Sepertimana Myisha, Siti juga menamatkan saingan Kumpulan C di tangga kedua dan juara kumpulan menjadi milik Seo Jin-lee.

Juara Kumpulan D, Komang Ayu Cahya Dewi yang berjaya mara ke Pusingan 32 akan bertemu pemain China, Han Yue yang menghuni ranking ke-24 dunia.

Sementara itu, Seo Jin-lee yang mengesahkan kemaraan daripada Kumpulan C pula akan menentang pemain Singapura, Jaslyn Hooi Yue Yann yang berada di ranking ke-100.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen