Artikel

BAC 2022: Empat Beregu Lelaki Negara Mara Ke Pusingan 16 Secara Berjemaah

Keempat-empat pasangan beregu lelaki negara tidak mempunyai masalah untuk melayakkan diri masing-masing ke peringkat Pusingan 16 dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022, hari ini.

Kemaraan itu itu bermula dengan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik merangkap pilihan kelima kejohanan yang mencatatkan kemenangan ke atas beregu China, He Ji Ting dan Zhou Hao Dong dengan skor 18-21, 21-12 dan 21-18 di Pusingan 32.

Ia disusuli dengan pasangan yang menjuarai saingan Terbuka Jerman, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang diletakkan sebagai pilihan kelapan berhasil mengalahkan beregu Filipina, Solomon Jr Padiz dan Julius Villabrille secara ‘straight set’ dengan keputusan 21-9 dan 21-14.

Kemudiannya, pasangan beregu muda, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun turut mengikut jejak langkah ‘abang-abangnya’ dengan mengatasi beregu Thailand, Weeraphat Phakjarung-Wongsathorn Thongkham dengan pungutan mata 21-16, 17-21 dan 21-12.

Dan kemaraan terakhir wakil beregu lelaki negara disempurnakan oleh pasangan bebas (independent), Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi selaku pilihan keenam kejohanan dengan menyingkirkan beregu Hong Kong, Chang Tak Ching dan Yeung Ming Nok secara ‘straight set’ 21-18 dan 21-17.

Di peringkat Pusingan 16 kelak, Aaron Chia dan Wooi Yik akan turun berhadapan dengan beregu Singapura, Danny Bawa Chrisnanta dan Andy Kwek (ranking ke-163).

Manakala Sze Fei dan Izzuddin pula dijadualkan menentang beregu Korea, Kang Min-hyuk dan Kim Won-ho (ranking ke-151). Sementara itu, Wei Chong serta Kai Wun akan ditentang oleh beregu Filipina, Christian Bernardo dan Paul John Pantig (tiada ranking).

Untuk Yew Sin dan Ee Yi, setakat artikel ini ditulis, lawan mereka belum dapat ditentukan lagi. Mereka bakal bertemu samada beregu Indonesia, Pramudya Kusumawardana dan Yeremia Rambitan (ranking ke-22) atau beregu India, Manu Attri dan B. Sumeeth Reddy (ranking ke-43).

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen