Slot Pusingan 16 menjadi milik pemain veteran negara, Liew Daren setelah berjaya menumpaskan perseorangan No.1 Korea, Heo Kwang-hee di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022, sebentar tadi.
Dalam perlawanan di peringkat Pusingan 32 terbabit, pemain berumur 34 tahun yang berada di ranking ke-35 ini terlebih dahulu tumpas kepada Kwang-hee dengan skor 8-21.
Namun begitu, di set kedua, Daren mendapat rentaknya dan berhasil bangkit untuk merekodkan kemenangan dengan pungutan mata 21-10 sekaligus mengheret pemain di ranking ke-30 dunia ke set penentuan.
RESULTS: #BAC2022
R32#MAS🇲🇾 Liew Daren def. #KOR🇰🇷 Heo Kwanghee 8-21 21-10 21-15
📷 @badmintonphoto #DemiMalaysia#BadmintonMalaysia pic.twitter.com/xNTYE0ZVr7
— BAM (@BA_Malaysia) April 27, 2022
Di set terakhir, Daren tidak mempunyai masalah untuk mengulangi rentak kecemerlangannya dan berjaya menumpaskan lawannya itu dengan skor 21-15. Direkodkan, pertarungan antara kedua-dua pemain ini berlangsung dalam tempoh 49 minit.
Untuk makluman semua, ini merupakan pertemuan kelima melibatkan kedua-dua pemain di pentas antarabangsa. Daripada empat pertemuan sebelum ini, hanya satu sahaja kemenangan yang berpihak kepada Daren manakala tiga yang lain dimenangi oleh Kwang-hee.
Sementara itu, Daren yang mara ke Pusingan 16 akan berhadapan dengan perseorangan No.2 Indonesia, Jonatan Christie yang berada di ranking kelapan dunia merangkap pilihan keempat kejohanan.
Jonatan mara selepas menumpaskan pemain India, B. Sai Praneeth (ranking ke-19) secara ‘straight set’ dengan skor 21-17 dan 21-13 di Pusingan 32 tadi.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia