Artikel

BAC 2022: Zii Jia Lolos Ke Pusingan 16, Tze Yong Kandas Pusingan 32

Dua perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong melakar keputusan yang berbeza ketika beraksi di Pusingan 32 dalam saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022.

Zii Jia yang berada di ranking ketujuh dunia merangkap pilihan ketiga kejohanan dapat tersenyum lebar meneruskan kemaraan ke Pusingan 16 setelah berjaya melepasi cabaran di pusingan awal, petang tadi.

Walaupun diberikan tentangan yang sedikit sengit, Zii Jia yang turun menentang pemain China di ranking ke-54 dunia, Sun Fei Xiang tetap berupaya merekodkan kemenangan dengan skor 19-21, 21-14 dan 21-14 dalam tempoh masa menghampiri satu jam permainan.

Bagaimanapun, nasib yang berbeza menimpa Tze Yong apabila terpaksa akur tewas kepada pemain yang lebih berpengalaman daripadanya iaitu Kidambi Srikanth – penghuni ranking ke-11 dunia.

Dalam perlawanan tersebut, Tze Yong yang bertemu Kidambi buat pertama kali di pentas antarabangsa tumpas secara ‘straight set’ dengan keputusan 20-22 dan 15-21.

Sementara itu, di Pusingan 16 kelak, Zii Jia dijadualkan bertemu pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito yang berada di ranking ke-24 dunia. 

Untuk makluman semua, pemain ini mara selepas menumpaskan pemain Taiwan, Lin Chun-Yi (ranking ke-91) dengan skor 14-21, 22-20 dan 21-19.

Sebagai rekod, Zii Jia dan Shesar pernah berentap sesama sendiri sebanyak lima kali di pelbagai pentas antarabangsa  sebelum ini. Daripada lima pertemuan itu, tiga daripadanya dimenangi oleh Shesar termasuk melibatkan pertemuan terakhir di kejohanan Terbuka Taipei 2019.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia & Badminton Asia

komen