Artikel

ACL 2022: JDT, Ulsan Terikat 10 Mata – Hari Sabtu Jadi Penentuan Ke Saingan Kalah Mati

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan dengan merekodkan kemenangan ke atas ‘skuad muda’ Guangzhou FC buat kali kedua dalam saingan Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri itu tadi berkesudahan dengan keputusan 2-0 memihak kepada tuan rumah hasil jaringan penalti berganda oleh penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva pada babak pertama dan penghujung babak kedua.

Kemenangan itu membolehkan JDT yang dibimbing oleh Benjamin Mora mengutip tiga mata sekaligus menjadikan mereka mengumpul 10 mata selepas mengharungi lima perlawanan. 

Selain itu, kemenangan ini juga turut membolehkan JDT kembali memimpin Kumpulan I. Walaupun memungut jumlah mata yang sama dengan Ulsan Hyundai, skuad yang berjulukan Harimau Selatan ini tetap mendahului atas faktor ‘head-to-head’ setelah merekodkan kemenangan ke atas pasukan tersebut pada perlawanan kedua lalu.

Mengekori rapat kedua-dua pasukan ini adalah wakil Jepun, Kawasaki Frontale yang kini mempunyai 8 mata setelah mengharungi lima perlawanan. Juara Liga Jepun ini terlepas peluang untuk memimpin Kumpulan I apabila tumpas kepada Ulsan, petang tadi.

Berbincang mengenai peluang JDT untuk layak ke saingan kalah mati buat pertama kali dalam sejarahnya, keputusan seri ketika menentang Ulsan dalam perlawanan terakhir pada Sabtu nanti berkemungkinan besar tidak mencukupi untuk layak.

Keputusan seri akan meletakkan JDT di tangga kedua Kumpulan I (mengambil kira Kawasaki meraih kemenangan ke atas Guangzhou FC). Namun begitu, kedudukan ini menyebabkan JDT perlu dibandingkan dengan pungutan mata yang dimiliki oleh pasukan naib juara dalam kumpulan-kumpulan lain di zon asia timur.

Sekiranya pungutan mata JDT tergolong dalam kalangan 3 naib juara terbaik daripada 5 pasukan, maka JDT layak ke peringkat kalah mati.

Hanya kemenangan sahaja dapat membawa mereka ke peringkat kalah mati secara automatik selaku juara Kumpulan I. Manakala kekalahan pula sudah semestinya membuatkan Harimau Selatan terpaksa mengucapkan ‘bye’ kepada pentas elit asia ini.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen