Artikel

BAC 2022: Jonatan ‘Comeback’ Saat Akhir Singkirkan Daren Di Pusingan 16

Pemain senior negara, Liew Daren kempunan untuk mara ke pentas suku akhir selepas lawannya, Jonatan Christie berhasil bangkit pada saat-saat akhir memenangi pertarungan di peringkat Pusingan 16 Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022.

Sebelum itu, Jonatan yang merupakan pemain No.2 Indonesia merangkap pemain kelapan dunia terlebih dahulu memenangi set pertama dengan skor 21-14. Dan di set kedua, Daren pula berhasil merekodkan kemenangan 21-13 untuk mengheret Jonatan ke set penentuan.

Semasa bertarung di set ketiga, Daren dilihat acap kali mendahului sambil Jonatan mengejar dan menyamakan kedudukan. Namun, di saat-saat akhir, Jonatan berhasil memungut mata demi mata sekaligus mengesahkan kemenangan dengan skor 21-19.

Hasil daripada keputusan ini, Daren terpaksa akur terkandas di Pusingan 16 sementara Jonatan dapat meloloskan diri ke peringkat suku akhir.

Pada masa yang sama, kemenangan ini turut menjadikan Jonatan dapat melebarkan rekod kemenangannya ke atas Daren kepada empat perlawanan daripada lima pertembungan secara keseluruhan.

Untuk makluman semua, di peringkat suku akhir kelak, Jonatan bakal berhadapan dengan juara Kejohanan Dunia 2021 dari Singapura, Loh Kean Yew – penghuni ranking kesepuluh dunia.

Pemain ini mara selepas menumpaskan pemain Jepun, Koki Watanabe yang menghuni ranking ke-46 dunia di Pusingan 16, pagi tadi.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen