Artikel

Faisal Harap Dapat Pulih Secepat Mungkin Selepas Cedera Ketika Menentang Selangor

Penyerang Terengganu, Faisal Abdul Halim berharap mampu pulih secepat mungkin selepas mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super berdepan Selangor pada Jumaat lalu.

Kecederaan yang dialami selepas dia menjaringkan gol pada minit ke-20 nyata menghampakan penyerang kebangsaan ini kerana terpaksa dikeluarkan lebih awal.

“Kecewa sebab saya baru sahaja menjaringkan gol dan tahap keyakinan saya dah bertambah selepas itu, memang semangat nak bermain.

“Tetapi bila cedera memang sedih, tidak mahu dikeluarkan sebenarnya tapi jurulatih (Nafuzi Zain) minta saya keluar juga sebab memang tak boleh nak teruskan dah.

“Dah kena ‘harmstring’ macam ni, saya tak boleh nak cakap apa cuma harap tak teruk sangat,” katanya.

Jelasnya, kesakitan di bahagian paha kanan masih lagi dirasai dan belum pasti adakah dia mampu untuk beraksi dalam aksi tertunda pusingan pertama Piala FA menentang Negeri Sembilan.

Untuk makluman semua, Terengganu dan Negeri Sembilan akan berentap dalam perlawanan tertunda pusingan pertama Piala FA 2022 pada hari esok. 

Pemenang bagi perlawanan ini mara ke Pusingan 2 dan menanti mereka di peringkat tersebut adalah skuad Kedah Darul Aman kendalian Aidil Sharin Sahak.

Featured Image: Terengganu FC

komen