Sukan SEA: Selepas Jadual Liga Dipinda, Sabah Lepaskan Saddil Beraksi Bersyarat
April 28, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan Liga Super, Sabah FC memaklumkan membuat keputusan untuk membenarkan pemain tonggaknya, Saddil Ramdani untuk menyertai skuad bawah 23 tahun (B-23) bagi menghadapi temasya Sukan SEA Vietnam 2021.

Sebelum ini skuad The Rhinos berkeras untuk tidak melepaskan pemain berusia 23 tahun tersebut kerana temasya Sukan SEA itu dianjurkan di luar daripada kalendar FIFA. Ia menjadikan kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain walapun diminta oleh barisan kejurulatihan skuad kebangsaan. 

Bagaimanapun, pendirian itu berubah sejurus Malaysian Football League (MFL) mengumumkan pindaan judual liga baru-baru ini. Dan hari ini, Sabah mengumumkan membenarkan Saddil menyertai skuad Garuda Muda dengan bersyarat setelah berbincang dengan kejurulatihan skuad jiran tetangga itu.

“Setelah diadakan perbincangan bersama ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong dan Pengarah Teknikal PSSI, Indra Sjafri satu persetujuan telah dicapai untuk membenarkan Saddil menyertai skuad kebangsaan B-23 Indonesia agar dapat membantu pasukan pada perlawanan pertama menentang Vietnam pada 6 Mei 2022.”

“Namun demikian, Saddil perlu kembali ke Kota Kinabalu bagi melaporkan diri bersama Sabah pada 10 Mei 2022 bagi menghadapi dua saingan penting menentang Kelantan United (13 Mei) dan Pulau Pinang (17 Mei).” kongsi kenyataan kelab yang dikeluarkan hari ini.

Pada masa yang sama, Sabah juga bersetuju untuk melepaskan Saddil untuk bersama skuad Garuda lebih awal bagi menghadapi Piala Asia 2023 – Pusingan Kelayakan Ketiga pada 18 Mei hingga 15 Jun dimana kalendar FIFA bermula 30 Mei hingga 14 Jun.

Featured Image: Sabah FC

Komen