Kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC mengesahkan pengurusnya, Jurgen Klopp bersetuju melanjutkan kontrak bersama skuad The Reds sehingga tahun 2026, dedah The Athletic.
Pengesahan itu hadir di saat Klopp sedang memimpin Liverpool untuk merangkul empat kejuaraan pada musim ini – sesuatu yang belum dicapai oleh mana-mana kelab dari England.
Ianya diumumkan oleh Liverpool menerusi satu kenyataan rasmi sekitar tengah malam tadi. Untuk makluman, kontrak Klopp yang mula berkhidmat bersama Liverpool pada Oktober 2015 sepatutnya tamat pada penghujung 2024.
We are delighted to announce Jürgen Klopp has signed a new contract to extend his commitment with the club! 🔴
— Liverpool FC (@LFC) April 28, 2022
Sementara itu, dua penolong jurulatih iaitu Pepijn Lijnders dan Peter Krawietz turut mengikuti jejak langkah Klopp melanjutkan kontrak bersama Liverpool.
Sebagai rekod, sejak membimbing Liverpool, Klopp telah mengemudi Liverpool ke beberapa perlawanan akhir serta berjaya menghadiahkan lima trofi kepada pasukan berpangkalan di Merseyside ini. Antaranya trofi Liga Juara-Juara UEFA 2018/19, Piala Super UEFA 2019, Piala Kelab Dunia FIFA 2019, EPL 2019/20 dan Piala EFL 2021/22.
Bercakap mengenai usaha untuk memenangi baki tiga trofi pada msuim ini, Liverpool sudah melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA bertemu Chelsea pada pertengahan Mei nanti.
Pada masa yang sama, Liverpool yang mempunyai 79 mata sedang mengekori rapat pendahulu EPL, Manchester City yang sudah mengumpul 80 mata daripada 33 perlawanan masing-masing.
Selain itu, The Kops turut meletakkan sebelah kakinya di perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA selepas berhasil menumpaskan Villareal CF pada perlawanan separuh akhir pertama pertengahan minggu ini.
Featured Image: Liverpool FC