Pengurus sementara, Ralf Ragnick mencadangkan agar diadakan satu proses undian dalam kalangan pemain-pemainnya untuk menentukan siapa yang akan dipilih untuk menjadi kapten Manchester United (Man Utd).
Pengurus kelahiran Jerman itu mencadangkan perkara berkenaan apabila ditanyakan mengenai samada pasukan berjulukan Red Devils itu akan mengekalkan pertahanan bernilai £80 juta, Harry Maguire sebagai pemilik lilitan kapten untuk musim hadapan.
Menurut laporan ESPN, lilitan kapten yang diberikan kepada Maguire ditambah dengan prestasinya yang tidak memberangsangkan pada musim ini telah menimbulkan ketegangan dalam bilik persalinan. Dan Ragnick mencadangkan proses tersebut untuk menyelesaikan isu itu.
Sebagi rekod, Maguire mula dilantik sebagai kapten Man Utd sekitar tahun 2022 semasa di bawah bimbingan pengurus dari Norway, Ole Gunnar Solksjaer.
Tambahnya, proses itu turut dilakukannya semasa mengendalikan kelab-kelab terdahulu terutamanya di Jerman.
Di sana, mereka mempunyai ‘Spielerrat’ yang bermaksud majlis pemain yang terdiri daripada empat hingga lima pemain yang diundi oleh semua ahli pasukan. Pemain yang mendapat undian tertinggi akan dilantik menjadi kapten pasukan.
Jelasnya lagi, itu perkara yang akan dilakukannya pada musim hadapan sekiranya dia kekal menjadi pengurus pasukan. Namun begitu, seperti kita sedia makluma, khidmat Ragnick sebagai pengurus Man Utd hanya sehingga penghujung musim ini dan selepas dari itu, jawatan tersebut akan diserahkan pengurus kelahiran Belanda, Erik Ten Hag.
Sebagai tambahan, selepas berakhirnya tugas Ragnick sebagai pengurus Man Utd, dia akan berbakti bersama Red Devils sebagai penasihat atau konsultan selama dua tahun.
Featured Image: Manchester United