Artikel

Perak FC Kini Dimiliki Syarikat Perkhidmatan Telekomunikasi XOX

Pasukan Liga Premier, Perak FC mendapat pemilik baharu yang merupakan sebuah syarikat perkhidmatan telekomunikasi berasaskan mobile virtual network operator (MVNO) iaitu XOX Berhad.

Menurut laporan HarimauMalaya, perkara tersebut mendapat pengesahan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Impact Media & Communication (IMC), Muhammad Yunus Zakariah – bekas pemilik.

Dan satu majlis penyerahan pemilikan turut diadakan dan ianya disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook TKKR Racing Team, tengah hari tadi.

Dalam majlis tersebut, satu serahan ‘mock cheque’ kepada Perak FC turut diserahkan dengan tertera nilai sebanyak RM100,000. Majlis ini juga turut dihadiri oleh CEO Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam.

Untuk makluman semua, XOX cukup dikenali penglibatannya dalam sukan permotoran dengan menjalin kerjasama dengan TKKR SAG Team yang pernah beraksi dalam saingan Kejuaraan Dunia Moto2.

Namun begitu, penglibatan mereka dalam kancah bola sepak bukanlah sesuatu yang asing. Pada tahun 2016, mereka pernah menjalin kerjasama dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) serta menaja saingan liga kalah mati, Piala FA pada 2015.

komen