Artikel

Ranking BWF: Sze Fei-Izzuddin Catat Peningkatan, Man-Tee Dekati Kelompok 30 Terbaik Dunia

Tiga daripada empat wakil Malaysia yang beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 baru-baru ini merekodkan peningkatan kedudukan ranking dunia, pada minggu ini.

Berdasarkan kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tengah hari tadi, semi finalis Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin mencatatkan peningkatan dua anak tangga menjadikan mereka menghuni tangga ke-14 dunia buat pertama kali dalam karier.

Sementara itu, beregu muda, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun yang berhasil mara sehingga ke peringkat suku akhir pula merekodkan lonjakan paling banyak iaitu 10 anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-34 dunia.

Beregu utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang tumpas pada perlawanan akhir kepada beregu Indonesia turut sama meraih peningkatan. Mereka kini kembali menghuni ranking ketujuh dunia – kedudukan yang dihuninya pada Mac lalu.

Wakil terakhir, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi yang terkandas di Pusingan 16 tidak merekodkan sebarang perubahan terhadap kedudukan mereka – kekal di tangga ke-11 dunia.

komen