Artikel

“Kita Perlu Bermain Di UCL” – Ujar Arteta Setelah Dilanjutkan Kontrak Sehingga 2025

Kelab berpangkalan di London, Arsenal memaklumkan khidmat Mikel Arteta selaku pengurus yang sepatutnya tamat pada tahun hadapan dilanjutkan sehingga ke musim panas 2025.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu kenyataan media yang disiarkan di laman sesawang rasmi milik kelab berjulukan The Gunners itu pada hari ini.

Lanjutan kontrak pengurus kelahiran Sepanyol itu hadir tatkala Arsenal sedang berada di landasan yang tepat untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selaku empat pasukan teratas buat pertama kali sejak enam musim yang lalu.

“Saya teruja, bersyukur dan sangat, sangat gembira pada hari ini,” kata pengurus 40 tahun itu sejurus melanjutkan kontrak bersama Arsenal di Stadium Emirates.

“Apabila saya bercakap kepada Josh (Kroenke) dia mampu melihat kelab pada titik yang sama dan dia mahu membawa kelab dengan cara saya mahu lalukannya. 

“Jadi, semua yang dia katakan, dan (juga) Stan (Kroenke) katakan apabila saya bersama kedua-duanya, mereka seringkali kotakan.”

“Kami mahu membawa kelab ke peringkat seterusnya dan bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik. Untuk merealisasikannya, kita perlu bermain di Liga Juara-Juara UEFA (UCL). 

“Kita perlu mampu untuk kembangkan pasukan, perbaiki pemain-pemain kita, tambah baik jabatan-jabatan, menjana hubungan yang lebih baik bersama para penyokong, tingkatkan atmosfera di (Stadium) Emirates, mampu merekrut bakat terbaik dan individu terbaik untuk kelab ini bagi memacu projek ini ke peringkat seterusnya.” ujarnya.

Ketika ini Arsenal berada di tangga keempat dengan 63 mata daripada 34 perlawanan. Mereka berada dua mata di atas Spurs di kedudukan kelima dan saingan hanya berbaki empat perlawanan sahaja lagi.

Sebagai rekod, kali terakhir mereka beraksi di pentas elit, Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pula adalah pada musim 2016/17 – lima musim yang lalu semasa di bawah kendalian Arsene Wenger.

Untuk makluman semua, khidmat Arteta yang juga merupakan bekas kapten The Gunners mula digunapakai oleh Arsenal pada Disember 2019 menggantikan Unai Emery dengan peranan sebagai ketua jurulatih.

Pada September 2020, selepas mengemudi Arsenal menjuarai saingan Piala FA dan menamatkan saingan EPL di tangga kelapan, Arteta diangkat menjadi pengurus mereka .

Featured Image: Arsenal

komen