Sukan SEA: Vietnam Kejutkan Indonesia Pada Aksi Sulung Kumpulan A
May 6, 2022 Hafizuddin Omar

Paskan tuan rumah, Vietnam bawah 23 tahun (B-23) memulakan kempen temasya Sukan SEA 2021 peringkat Kumpulan A dengan cukup bergaya.

Pada perlawanan pertama yang berkesudahan sebentar tadi, Vietnam yang dibimbing oleh jurulatih Korea, Park Hang-seo berhasil mengejutkan Indonesia B-23 dengan keputusan tiga jaringan tanpa berbalas.

Babak pertama berlangsung dengan seimbang dan kedua-duanya terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan. Namu begitu, Vietnam B-23 tampil lebih garang pada babak kedua dan berhasil menerobos gawang lawan bermula minit ke-54 menerusi Nguyen Tien Linh.

Selang 20 minit kemudiannya, Vietnam B-23 berhasil menggandakan jaringan menerusi kaptennya, Do Hung Dung setelah menerima satu lorongan bijak daripada rakan sepasukan.

Dan pada minit ke-88, satu kesilapan daripada pertahanan Indonesia membolehkan Vietnam mencetak gol ketiga hasil rembatan jarak jauh oleh Le Van Do.

Setelah wisel ditiup oleh pengadil perlawanan, Vietnam B-23 tersenyum lebar dan menarik nafas lega bukan sahaja kerana merekodkan kemenangan bahkan turut mengutip tiga mata pertama dalam temasya ini.

Sementara itu, satu lagi perlawanan melibatkan Kumpulan A menyaksikan Filipina B-23 berhasil merangkul kemenangan dengan keputusan 4-0 ke atas Timor Leste B-23 dalam perlawanan yang berlangsung petang tadi.

Perkembangan ini menyaksikan Filipina B-23 mendahului carta Kumpulan A dan Vietnam B-23 mengikuti di tangga kedua selepas tamatnya aksi pertama buat kedua-dua pasukan dalam kumpulan ini. Indonesia B-23 pula berada di kedudukan ketiga sementara Timor Leste B-23 di tangga tercorot.

Featured Image: Facebook Vietnamese Football

Komen