Piala Uber: Sumbangan Pearly-Thinaah, Jin Wei Tak Cukup Buat Malaysia Atasi Denmark
May 8, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad wanita Malaysia bermula dengan langkah kiri, tumpas kepada Denmark pada perlawanan sulung peringkat Kumpulan C dalam saingan Piala Uber 2022, pada hari ini.

Dalam lima perlawanan yang berlangsung, hanya dua pertembungan sahaja yang dimenangi oleh Malaysia menerusi gandingan beregu pertama Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan serta perseorangan kedua, Goh Jin Wei.

Pearly-Thinaah yang turun pada perlawanan kedua berhasil mencatatkan kemenangan secara ‘straight set’ ke atas Maiken Fruergaard dan Sara Thygesen dengan skor 21-19 dan 21-19. Kemenangan ini menjadikan Malaysia mengikat Denmark 1-1 pada ketika itu.

Pada perlawanan ketiga pula, Jin Wei meneruskan momentum kemenangan buat Malaysia dengan menumpaskan Line Christophersen dengan skor 21-12, 11-21 dan 21-5. Kemenangan ini memberikan Malaysia mendahului 2-1.

Sebelum itu, Malaysia ketinggalan selepas perlawanan pertama apabila perseorangan utama negara, Kisona Selvaduray tumpas kepada Mia Blichfeldt secara ‘straight set’ dengan pungutan mata 14-21 dan 15-21.

Bersambung di perlawanan keempat, beregu kedua negara, Teoh Mei Xing dan Anna Cheong gagal meneruskan momentum kemenangan buat Malaysia apabila tewas ‘straight set’ kepada Alexandra Bøje dan Amalie Magelund dengan skor 14-21 dan 10-21. Ini menjadikan Denmark berhasil mengikat kedudukan semasa kepada 2-2.

Taruhan terakhir buat Malaysia adalah pemain muda berusia 19 tahun, Myisha Mohd Khairul. Bagaimanapun, berhadapan dengan pemain di ranking lebih tinggi daripadanya, Line Kjaersfeldt bukanlah sesuatu yang mudah dan Myisha terpaksa akur tumpas ‘straight set’ dengan keputusan 12-21 dan 9-21.

Kekalahan Myisha itu menjadikan Malaysia tumpas 2-3 kepada Denmark dan gagal memungut mata pada hari ini. Esok, skuad wanita negara akan turun menentang skuad tuan rumah, Thailand perlawanan kedua.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia 

Komen