Piala Thomas: Skuad Lelaki Negara Atasi England Pada Perlawanan Sulung
May 9, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad lelaki negara memulakan kempen Piala Thomas 2022 dengan langkah kanan menumpaskan England pada perlawanan sulung peringkat Kumpulan D.

Kemenangan itu disahkan selepas tiga wakil pertama negara iaitu Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ng Tze Yong merekodkan kemenangan secara berturut-turut ke atas lawan masing-masing, sebentar tadi. 

Zii Jia yang menghuni ranking keenam dunia tidak mempunyai masalah untuk menyumbangkan mata pertama buat Malaysia dengan menumpaskan Toby Penty (ranking ke-53) secara ‘straight set’ dengan skor 21-10 dan 21-15 dalam tempoh 36 minit.

Perlawanan kedua menyaksikan sedikit kesukaran ditempuh oleh Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sebelum mengesahkan kemenangan. Beregu di ranking ketujuh dunia ini terlebih dahulu tumpas kepada Ben Lane dan Sean Vendy dengan skor 19-21 sebelum menang dua set berikutnya 21-15 dan 21-16.

Perseorangan muda negara, Ng Tze Yong yang turun di pertarungan ketiga mengesahkan kemenangan buat Malaysia apabila mencatatkan kemenangan ke atas Johnnie Torjussen dengan skor 21-16 dan 19-21 dan 21-11.

Sementara itu, Malaysia masih berbaki dua perlawanan lagi iaitu melibatkan pertemuan antara Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin (ranking ke-14) menentang Rory Easton dan Zach Russ (ranking ke-73) serta Leong Jun Hao (ranking ke-124) bertemu Cholan Kayan (ranking ke-508).

Sebarang keputusan terhasil dalam kedua-dua pertarungan ini tidak akan memberi kesan terhadap kemenangan pasukan Malaysia pada hari ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen