Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan penjualan “Tiket Kombo” yang berharga RM100 (tempat duduk terbuka) untuk menonton kesemua enam perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang dijadualkan pada Jun nanti.
Bagaimanapun, menerusi satu siaran media yang dikeluarkan pada hari ini, tawaran tersebut hanya terhad untuk pembelian dari 16 hingga 29 Mei di laman sesawang Ticket Hotline sahaja.
Dengan pembelian “Tiket Kombo” ini, pembeli akan dapat menyaksikan perlawanan-perlawanan yang berikut:
- 8 Jun 2022 (Rabu)
Bahrain lawan Bangladesh
Turkmenistan lawan Malaysia
- 11 Jun 2022 (Sabtu)
Bangladesh lawan Turkmenistan
Malaysia lawan Bahrain
- 14 Jun 2022 (Selasa)
Bahrain lawan Turkmenistan
Malaysia lawan Bangladesh
Naib Presiden FAM, Dato’ Posa Haji Majais selaku Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM berkata, pengenalan “Tiket Kombo” itu dibuat bagi memudahkan para penyokong skuad Harimau Malaya yang ingin hadir pada ketiga-tiga hari perlawanan tersebut tanpa perlu membuat pembelian tiket secara berasingan serta dapat menikmati diskaun harga sebanyak hampir 20 peratus.
Sementara itu, selepas daripada tempoh tawaran yang dinyatakan di atas, tiket akan dijual secara berasingan dan ianya diletakkan dengan tanda harga RM40 bagi setiap hari perlawanan.
Manakala bagi tempat duduk Grandstand, sekeping tiket akan dijual dengan harga RM60 bagi setiap hari perlawanan. Harga tiket untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun pula bernilai RM7 sekeping bagi setiap hari perlawanan.
Tambah kenyataan itu lagi, setiap penyokong hanya dapat membeli maksimum lima keping tiket sahaja. Setiap pembelian bagi kesemua jenis tiket akan dikenakan tambahan caj pemprosesan dan caj bank, masing-masing mengikut kadar yang telah ditetapkan.
Akhir sekali, harga tiket bagi perlawanan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia bertemu Myanmar dan Hong Kong akan dijual menerusi Ticket Hotline pada harga RM30 untuk dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak (6-12 tahun) masing-masing. Kedua-dua perlawanan ini akan berlangsung pada 27 Mei dan 1 Jun kelak.
Untuk makluman semua, tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket stadium.