Piala Uber: Malaysia Tersingkir Selepas Tumpas 1-4 Kepada Tuan Rumah
May 10, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad wanita negara terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Uber 2022 selepas tumpas kepada skuad tuan rumah, Thailand semalam.

Dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan C tersebut, Malaysia hanya memungut satu mata hasil daripada kemenangan yang disumbangkan oleh beregu utama, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan pada pertarungan kedua.

Pertarungan itu dimenangi oleh Pearly-Thinaah dengan menumpaskan beregu No.8 dunia, Jongkolphan Kititharakul dan Rawinda Prajongjai dengan skor 16-21, 21-19 dan 21-17.

Goh Jin Wei yang menjadi taruhan pertama buat Malaysia mampu memberikan tentangan yang sengit kepada pemain No.8 dunia, Ratchanok Intanon namun terpaksa akur menanggung kekalahan dengan skor 21-14, 14-21 dan 15-21.

Sementara itu, pemain remaja berusia 19 tahun, Myisha Mohd Khairul yang menjadi taruhan ketiga Malaysia turun menentang pemain No.10 dunia, Pornpawee Chochuwong hanya dapat memberikan tentangan pada set pertama sahaja namun ianya tetap dimenangi pemain lawan 20-22. Di set kedua, ternyata Myisha tidak dapat meneruskan rentak di set pertamanya dan dikalahkan dengan skor 10-21.

Taruhan keempat Malaysia adalah “scratch pair” antara Teoh Mei Xing dan Valeree Siow. Mereka turun menentang pasangan No.31 dunia, Benyapa Aimsaard dan Nuntakarn Aimsaard dan tewas “straight set” dengan skor 9-21 dan 14-21.

Di pertarungan terakhir, Malaysia menurunkan seorang lagi pemain remaja iaitu Tan Zhing Yi untuk menentang pemain No.12 dunia, Busanan Ongbamrungphan. Sepertimana Myisha, Zhing Yi turut memberikan tentangan yang sengit di set pertama yang berakhir dengan kekalahan skor 19-21. Di set kedua, Zhing Yi tumpas dengan keputusan 6-21.

Kekalahan ini meletakkan Malaysia di tangga ketiga Kumpulan C dengan tiada sebarang mata dipungut hasil daripada dua perlawanan. Thailand dan Denmark yang berada di tangga pertama dan kedua masing-masing hasil daripada mengutip dua kemenangan telah mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati.

Untuk perlawanan terakhir peringkat Kumpulan C, Malaysia akan turun menentang pasukan tercorot, Mesir pada jam 8 malam nanti waktu Malaysia.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen