Artikel

Penang FC Berpisah Dengan Jurulatih Republik Czech, Tomas Trucha

Khidmat ketua jurulatih kelahiran Republik Czech, Tomas Trucha tidak lagi digunakan oleh pasukan berpangkalan di utara semenanjung, Penang FC selepas daripada saat ini.

Dalam satu kenyataan media pada hari ini, skuad Harimau Kumbang merakamkan penghargaan kepada Tomas terutamanya membantu Penang menamatkan saingan Liga Super 2021 di tangga ketiga. Mereka juga turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Tomas.

Bagaimanapun, prestasi Penang dalam saingan Liga Super pada musim ini tidak begitu memberangsangkan. Ketika ini, Penang menghuni tangga tercorot dengan hanya mengutip tiga mata daripada enam perlawanan.

Untuk makluman semua, Tomas yang memiliki lesen UEFA Pro mula dilantik sebagai ketua jurulatih Penang pada penghujung tahun 2020.

Sebagai tambahan, Tomas menjadi ketua jurulatih yang kedua dalam saingan Liga Super berpisah dengan kelabnya. Ketua jurulatih pertama yang mengalami nasib sedemikian ialah Risto Vidakovic – ditamatkan kontrak oleh Melaka United FC.

Featured Image: Penang FC

komen