Skuad Amerika Syarikat menanggung kekalahan dalam semua perlawanan ketika menentang pasukan Malaysia dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan D dalam kejohanan berpasukan lelaki, Piala Thomas 2022.
Dalam perlawanan terbabit, Amerika mempertaruhkan pemain perseorangan Enrico Asuncion (ranking 222), Henley Averia (ranking 307) dan William Hu (ranking 2020). Manakala untuk dua pasangan beregu, Amerika menurunkan Adrian Mar-Henry Tang serta Enrico Asuncion-William Hu.
Perseorangan pertama Malaysia Liew Daren mengutip kemenangan pertama buat skuad negara dengan menumpaskan Enrico secara “straight set” menerusi pungutan mata 21-13 dan 21-16. Pada perlawanan kedua, Ng Tze Yong pula mencipta kemenangan mengatasi Henley juga secara “straight set” dengan skor 21-11 dan 21-9.
Perlawanan ketiga, Malaysia menurunkan Aidil Sholeh. Sepertimana Daren dan Tze Yong, Aidil turut meneruskan rentak kemenangan dengan menumpaskan William Hu dengan skor 21-16 dan 21-17.
Di perlawanan keempat, giliran pemain beregu pula beraksi. Skuad negara menurunkan “scratch pair” dengan menggandingkan Chia Wei Jie dan Goh Sze Fei. Tiada masalah buat mereka untuk mencipta kemenangan ke atas Adrian Mar-Henry Tang dengan skor 21-12 dan 21-8.
Perlawanan terakhir bertemu skuad negara Uncle Sam adalah antara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menentang Enrico Asuncion-William Hu. Beregu yang berada di ranking ke-10 dunia ini memastikan Malaysia dapat menutup perlawanan ini dengan keputusan akhir 5-0 ke atas Amerika dengan menumpaskan lawannya dengan skor 21-12 dan 21-8.
Dengan kemenangan ini, Malaysia telah pun layak untuk mara ke peringkat suku akhir. Namun begitu, untuk merebut status sebagai juara bagi Kumpulan D, skuad lelaki negara perlu membuat perhitungan terlebih dahulu menentang Jepun dalam perlawanan akhir, malam nanti.
Featured Image: Badminton Association of Thailand