Piala Uber: Malaysia Tidak Pulang Tangan Kosong, Kutip 1 Mata Menentang Mesir
May 11, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad wanita negara disahkan gagal layak ke saingan kalah mati selepas tumpas dua perlawanan berturut-turut menentang Denmark dan Thailand pada peringkat Kumpulan C saingan Piala Uber 2022.

Namun begitu, Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong selepas berhasil merakamkan kemenangan menentang Mesier pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, semalam.

Perlawanan dan kemenangan pertama dimulakan oleh Myisha Mohd Khairul dengan menumpaskan Doha Hany secara “straight set” dengan skor 21-5 dan 21-19 . Kemenangan itu diteruskan pada perlawanan kedua menerusi Tan Zhing Yi yang mengalahkan Nour Ahmed Youssri dengan skor 21-12 dan 21-14.

Pemain berusia 17 tahun yang melakukan debut di kejohanan ini, Chan Wen Tse turut meneruskan rentak kemenangan dengan menumpaskan Hana Tarek Zaher juga menerusi “straight set” dengan skor 21-16 dan 21-16.

Pada perlawanan keempat, pasangan beregu Low Yeen Yuan dan Valeree Siow turut sama merekodkan kemenangan. Mereka meraih pungutan mata 21-6 dan 21-10 mengatasi lawannya, Jana Ashraf dan Jana Abdelkader.

Perlawanan ini ditutup dengan pertarungan antara Teoh Mei Xing-Anna Cheong dan Nor Ahmed Youssri-Hana Tarek Zaher. Beregu negara memastikan kemenangan bersih 5-0 menjadi milik Malaysia dengan skor 21-5 dan 21-4.

Malaysia menamatkan saingan Kumpulan C ini menduduki tempat ketiga dan Mesir di tangga keempat. Sementara itu, skuad tuan rumah, Thailand muncul juara kumpulan dan Denmark pula menjadi naib juara.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen