Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor menegaskan pihak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak teragak-agak untuk menyaman pihak yang menyebarkan fitnah aksi hambar skuad Sang Kenari berpunca daripada masalah tunggakan gaji.
Memetik perkongsian oleh laman Urus Setia Penerangan Kedah Darul Aman (UPDA) pada hari ini, Sanusi turut berkongsikan bahawa beliau dimaklumkan oleh KDA FC tidak berhadapan dengan sebarang tunggakan gaji terhadap para pemain seperti dicanang oleh sebahagian pihak.
Katanya, penyebar fitnah bakal berhadapan tindakan mahkamah akibat daripada perbuatan ‘gatal tangan’ mereka sendiri.
Untuk makluman semua, KDA FC hanya meraih satu kemenangan serta satu seri daripada lima perlawanan terakhir bagi saingan Liga Super.
Walaupun masih kekal di tangga kedua liga, skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak ini menghadapi satu masalah kronik iaitu bolos terlalu banyak gol. Selepas mengharungi lapan perlawanan liga, KDA FC merekodkan 17 bolos – terbanyak dalam saingan Liga Super musim ini.
Kedudukan Carta Liga Super 2022
Selepas 8 perlawanan, KDA FC berada ditangga kedua namun pasukan lain masih berbaki beberapa perlawanan. Aksi seterusnya menentang Negeri Sembilan FC, 17 Mei ini. pic.twitter.com/HYGOgAwKcA
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) May 11, 2022
Pada masa yang sama, Sanusi turut meluahkan perasaan tidak gembiranya terhadap persembahan hambar KDA FC pada ketika ini. Bagaimanapun beliau tidak masuk campur dan menyerahkan kepada barisan jurulatih serta para pemain untuk menentukan prestasi mereka.
“Sebagai Presiden KFA saya tidak akan masuk campur, saya juga seperti peminat yang lain, kita mahu Kedah menang.
“Saya difahamkan akan ada rundingan dengan pemain. Mungkin pemain-pemain yang cedera dan lambat pulih akan dipertimbangkan kedudukannya,” katanya lagi.
Featured Image: Unit Penerangan Kedah Darul Aman – UPDA