Artikel

Lagi Pemain Skuad Kebangsaan Thailand, Supachok Sarachat Diikat Kelab J-League

Seorang lagi pemain skuad kebangsaan negara jiran tetangga, Thailand akan mewarnai saingan tertinggi bola sepak negara matahari terbit, J-League pada musim ini.

Ini selepas salah sebuah kelab yang beraksi dalam kancah tersebut, Consodole Sapporo disahkan mendapatkan khidmat pemain tengah menyerang Buriram United, Supachok Sarachat secara pinjaman selama enam bulan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh pihak Buriram United sendiri menerusi satu hantaran di pelbagai platform media sosialnya, semalam.

Difahamkan, penyertaan pemain berusia 23 tahun itu bersama pasukan yang sedang menghuni tangga kesembilan liga pada ketika ini turut disertakan dengan klausa lanjutan tempoh pinjam dan perpindahan secara tetap.

Untuk rekod, Supachok telah tampil sebanyak 195 kali dalam pelbagai kejohanan bersama skuad Thunder Castle. Dia turut merekodkan 43 gol serta 21 “assist” bersama Buriram United.

Selain itu, Supachok juga mempunyai pengalaman beraksi di pentas elit asia, Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan rekod sebanyak 16 penampilan.

Sementara itu, penyertaan Supachok ini menjadikan dua pemain Thailand beraksi dalam saingan J-League pada musim ini. Seorang lagi pemain yang sedang beraksi dalam kancah yang sama ialah Chanatip Songkrasin atau dikenali sebagai “Messi Jay” bersama Kawasaki Frontale.

Featured Image: Changsuek

komen