Artikel

Piala Thomas: Zii Jia Balas Dendam Kekalahan Kepada Lakshya Di All England

Bulan Mac lalu, perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia disingkirkan oleh pemain India, Lakshya Sen pada peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2022.

Namun begitu, pemain kelahiran Alor Setar ini berhasil membalas dendam kekalahan tersebut pada pertarungan pertama antara Malaysia dan India menentang pemain yang sama di peringkat suku akhir Piala Thomas 2022, sebentar tadi. 

Dalam perlawanan tersebut, Zii Jia yang berada di ranking keenam dunia meraih kemenangan ke atas Lakshya (ranking ke-9) secara “straight set” dengan skor 23-21 dan 21-9 dalam tempoh masa 46 minit permainan. 

Kemenangan ini sekaligus memberikan mata pertama buat skuad Malaysia dan memberikan skuad lelaki negara mendahului 1-0 ke atas India buat masa ini.

Lebih manis, ini merupakan kemenangan sulung Zii Jia ke atas pemain berusia 20 tahun ini di sebarang kejohanan antarabangsa. Sebelum ini, Zii Jia pernah berentap sebanyak dua kali menentang dan kedua-duanya dimenangi oleh Lakshya.

Perlawanan seterusnya bersambung dengan gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin turun menentang Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty.

Featured Image: Victor Instagram

komen