Kelab bimbingan Steven Gerrard, Aston Villa mengumumkan mengikat khidmat pemain tengah kelahiran Brazil, Philippe Coutinho secara tetap sehingga tahun 2026.
Sebelum ini, Aston Villa mendapatkan Coutinho pada Januari lalu secara pinjaman daripada FC Barcelona.
Namun begitu, untuk mengikatnya secara tetap, skuad The Claret and Blue mengeluarkan belanja sebanyak £17 juta bagi menebus kontraknya yang masih berbaki selama setahun bersama skuad The Catalan, lapor The Athletic.
Philippe Coutinho is here to stay. 😍 pic.twitter.com/FnIjvz3rwz
— Aston Villa (@AVFCOfficial) May 12, 2022
Pada masa yang sama, Barcelona turut memasukkan klausa pembelian sebanyak 50% ke atas penjualan Coutinho di masa hadapan.
Selain itu, difahamkan pemain berusia 29 tahun itu turut menerima potongan gaji agar bersesuaian dengan struktur gaji Aston Villa.
Gerrard menyifatkan ikatan Coutinho secara tetap adalah sesuatu yang amat bijak buat Aston Villa. Dia menjadi model ikutan dan memberikan impak sejak kedatangannya.
Untuk makluman semua, sejak bersama Aston Villa awal tahun ini, Coutinho telah membuat 16 penampilan serta menjaringkan empat gol. Tidak dilupakan, dia turut mencipta tiga “assists” yang membantu Aston Villa menghuni tangga pertengahan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.
Coutinho pernah mencuri tumpuan peminat bola sepak dunia menerusi yuran perpindahan mega ke Barcelona daripada Liverpool yang berjumlah £105 juta pada tahun 2018.
Sepanjang bersama Barcelona, Coutinho turut pernah dipinjamkan kepada gergasi Jerman, Bayern Munich selama semusim dimana dia berhasil meraih kejuaraan Bundesliga, Piala Jerman serta tofi Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Featured Image: Aston Villa