Manchester City (Man City) mengabadikan tugu penyerang legendanya, Sergio Aguero bersempena dengan ulang tahun ke-10 mereka menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat julung kalinya, pada hari ini.
Rekaan tugu itu mengambil inspirasi daripada larian Aguero ketika meraikan jaringan kemenangan semasa menentang Queens Park Rangers (QPR) pada minit 93:20 di Stadium Etihad pada perlawanan terakhir liga musim 2011/12.
Jaringan lewat itu membolehkan Man City mengatasi QPR dengan keputusan 3-2 sekaligus memintas rival setempat, Manchester United di saat-saat akhir untuk merangkul kejuaraan EPL buat pertama kali dalam sejarah.
We are delighted to unveil a permanent statue of Club legend @aguerosergiokun at the Etihad Stadium on the tenth anniversary of 93:20! 💙#ManCity pic.twitter.com/NUoyPyAMBm
— Manchester City (@ManCity) May 13, 2022
Tugu Aguero ini dibina menggunakan ribuan kepingan besi galvani yang dikimpal bersama. Ianya direka oleh Andy Scott dan diletakkan di bahagian timur Stadium Etihad bersama-sama tugu Vincent Kompany dan David Silva.
Pada waktu malam, tugu ini akan dinyalakan dengan lampu berwarna biru cair yang menjadi warna tradisi skuad The Cityzen.
Menurut kenyataan rasmi oleh Man City, tugu ini dibina khusus untuk meraikan sumbangan luar biasa penyerang kelahiran Argentina kepada kelab serta momen luar biasa untuk diingati oleh para penyokong Man City seluruh dunia.
Untuk makluman semua, sepanjang menyarung jersi Man City, Aguero telah membuat 390 penampilan, menjaringkan 260 gol serta mencipta 73 “assist”. Kesemua rekod itu membantu Man City memenangi lima trofi EPL, enam trofi Piala Liga, satu trofi Piala FA, serta dua trofi Piala Komuniti.
Featured Image: Manchester City