Piala Thomas: Juara Bertahan, Indonesia & Pasukan ‘Underdog’ India Tempah Tiket Final
May 14, 2022 Hafizuddin Omar

Kejohanan badminton berpasukan lelaki, Piala Thomas 2022 menyaksikan juara bertahan merangkap skuad negara jiran tetangga, Indonesia dan pasukan yang menumpaskan Malaysia di peringkat suku akhir, India berjaya melayakkan diri ke pentas final.

Kedua-dua pasukan mara selepas menundukkan lawan masing-masing iaitu Jepun dan Denmark di peringkat separuh akhir yang berkesudahan awal pagi tadi.

https://twitter.com/INABadminton/status/1525163216435040256

Dalam perlawanan tersebut, Indonesia mara selepas menumpaskan Jepun dengan keputusan 3-2 hasil sumbangan mata oleh pemain perseorangan 1 (MS1), Anthony Sinisuka Ginting, beregu 1 (MD1), Kevin Sanjaya-Mohammad Ahsan serta perseorangan 3 (MS3), Shesar Hiren Rhustavito.

Ketiga-tiga wakil ini meraih mata dengan menumpaskan Kento Momota, gandingan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi serta Kodai Naraoka masing-masing.

Manakala pasukan India yang boleh dilabel sebagai “underdog” pula mara dengan skor keputusan yang sama seperti Indonesia hasil sumbangan tiga kemenangan yang diraih oleh MD1, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, MS2, Srikanth Kidambi dan MS3, Prannoy Haseena Sunil Kumar.

Pemain-pemain ini merekodkan kemenangan ke atas beregu Kim Astrup-Mathias Christiansen, perseorangan, Anders Antonsen dan Rasmus Gemke.

Untuk makluman semua, semalam, skuad India telah mencipta sejarah mara ke peringkat separuh akhir buat pertama kali sejak 43 tahun yang lalu selepas menumpaskan Malaysia di peringkat suku akhir.

Sementara itu, kejayaan India mengesahkan tempat ke pentas final pula merupakan yang pertama dalam sejarah pembabitan mereka dalam saingan Piala Thomas.

Sebagai tambahan, perlawanan akhir Piala Thomas 2022 yang menemukan Indonesia dan India ini dijadualkan berlangsung pada Ahad kelak.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen