Skuad Harimau Muda telah mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir namun hanya mencetak keputusan seri bertemu Kemboja bawah 23 tahun (B-23) dalam perlawanan akhir Kumpulan B, temasya Sukan SEA 2021 sebentar tadi.
Dalam perlawanan tersebut, skuad negara bimbingan Brad Maloney merekodkan keputusan 2-2 dimana jaringan oleh Malaysia B-23 disumbangkan oleh Hadi Fayyadh pada minit ke-51 dan ke-67. Pasukan lawan pula berhasil mencetak dua gol menerusi Choun Chanchav dan Ky Rina pada minit ke-45+1 dan ke-60 masing-masing.
Keputusan ini hanya memberikan skuad Harimau Muda mengutip satu mata dan mengumpul lapan mata daripada empat perlawanan secara keseluruhan.
Untuk makluman semua, lapan mata ini belum cukup untuk meletakkan Malaysia selaku juara Kumpulan B. Malaysia perlu menunggu keputusan perlawanan antara Thailand dan Laos pada malam nanti.
Sekiranya Thailand merekodkan kemenangan, maka Malaysia akan menamatkan saingan peringkat Kumpulan B selaku naib juara dan perlu berhadapan dengan skuad tuan rumah merangkap juara Kumpulan A, Vietnam B-23 di peringkat separuh akhir.
Namun, sekiranya Thailand merekodkan keputusan seri atau kalah, Malaysia akan menamatkan saingan selaku juara kumpulan dan akan berhadapan dengan naib juara Kumpulan A, Indonesia B-23.
Featured Image: Football Association of Malaysia