Skuad Malaysia berhasil mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir dalam acara badminton berpasukan lelaki di temasya Sukan SEA 2021 selepas menyingkirkan pasukan tuan rumah, Vietnam dengan keputusan 3-1 sebentar tadi.
Pengesahan kemaraan itu dimuktamadkan oleh beregu lelaki kedua (MD2) yang turun beraksi pada perlawanan keempat, Wan Arif Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri yang turut terkenal dengan julukan “Patatimo Boys”.
Gandingan beregu yang berasal dari Terengganu dan Kelantan masing-masing ini mencipta kemenangan ke atas beregu Nguyen Dinh Hoang dan Tran Dinh Manh dengan skor 15-21, 21-12 dan 22-20.
RESULTS: #SEAGames2021 QF (Men’s Team)
🇲🇾 2-1 🇻🇳
Lee Shun Yang def. Le Duc Phat 21-19 27-25#DemiMalaysia#BadmintonMalaysia pic.twitter.com/rll9PP7Lcq
— BAM (@BA_Malaysia) May 16, 2022
Sebelum itu, Malaysia berhasil mendahului 2-1 hasil kemenangan yang disumbangkan oleh beregu pertama (MD1) Man Wei Chong dan Tee Kai Wun pada perlawanan kedua. Mereka merekodkan kemenangan ke atas Do Tuan Duc-Pham Hong Nam dengan keputusan 21-8, 20-22 dan 21-18.
Satu lagi kemenangan disumbangkan oleh perseorangan kedua (MS2), Lee Shun Yang yang menghasilkan kemenangan secara “straight set” ke atas Le Duc Phat dengan skor 21-19 dan 27-25.
Malaysia hanya tumpas pada perlawanan pertama dimana perseorangan pertama (MS1), Jacky Kok Jing Hong kalah kepada Nguyen Tien Minh dengan skor 14-21, 26-24 dan 7-21.
Sementara itu, skuad lelaki negara yang berjaya melangkah ke separuh akhir akan bertemu pasukan negara seberang tambak, Singapura di peringkat separuh akhir.
Perlawanan ini akan berlangsung pada hari esok (17 Mei) di venue yang sama, Bac Giang Gymnasium dengan perlawanan dijadualkan bermula jam 4 petang waktu Malaysia.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia