Juara bertahan, Republik Korea menjadi pasukan terawal dalam Kumpulan C yang menyenaraikan 23 pemain yang akan mewakili skuad “Young Taeguk Warriors” untuk menghadapi saingan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) yang akan berlangsung 1 hingga 19 Jun kelak di Uzbekistan.
Kempen untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya dua tahun lalu akan bermula dengan menentang tiga pasukan dari asia tenggara iaitu Malaysia (2 Jun), Vietnam (5 Jun) dan Thailand (8 Jun).
Bagi melepasi saingan Kumpulan C itu, Korea memperkuatkan pasukan dengan memanggil tiga pemain tengah berpangkalan di benua eropah iaitu Lee Kang-In (RCD Mallorca, LaLiga), Jeong Sang-bin (Grasshoppers, Liga Switzerland) dan Hong Hyun-seok (LASK, Liga Austria).
Baca: Piala Asia B-23 -Tiga Pasukan ASEAN Diundi Bersama Juara Bertahan Dalam Kumpulan C
Untuk makluman semua, Kang-In yang berhijrah menyertai Mallorca daripada Valencia pada Ogos 2021 lalu telah merekodkan 34 penampilan dalam saingan LaLiga dan Copa del Rey. Pemain berusia 21 tahun ini turut menghasil satu gol serta tiga “assist” bagi musim ini.
Selain itu, penyerang yang beraksi dalam saingan Liga Jepun (J-League) bersama Shimizu S-Pulse turut disenaraikan.
Manakala 19 pemain lain diisi dengan pemain-pemain yang beraksi dalam saingan liga negaranya sendiri daripada pelbagai kelab divisyen pertama dan kedua iaitu K-League 1 dan K-League 2.
Sebagai rekod, Korea berhasil melayakkan diri ke saingan Piala Asia B-23 kali ini dengan muncul juara Kumpulan H yang terdiri daripada Singapura, Filipina dan Timor Leste dalam pusingan kelayakan yang berlangsung pada Oktober tahun lalu.
Featured Image: Instagram Lee Kang-In