Artikel

Pan-gon Panggil 14 Pemain JDT Sertai Kem Latihan Pusat Harimau Malaya

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mengumumkan senarai 29 pemain yang dipanggilnya untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 dan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023.

Menerusi senarai nama yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), lebih kurang separuh daripadanya iaitu seramai 14 orang diisi dengan pemain-pemain pasukan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

14 pemain tersebut ialah Farizal Marlias, Syahmi Safari, Shahrul Saad, Cobin-Ong, Syamer Kutty, Nazmi Faiz, Safiq Rahim, Arif Aiman, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh, Matthew Davies, Afiq Fazail dan Guilherme de Paula.

Seterusnya, senarai itu diisi dengan tiga pemain Petaling Jaya City dan Negeri Sembilan masing-masing iaitu Kalamullah Al-Hafiz, R. Kogileswaran, Darren Lok, Khair Jones, Ahmad Khuzaimi Piee dan Syihan Hazmi.

Sementara itu, enam pemain lagi diisi oleh Faisal Halim (Terengganu), Khairulazhan Khalid (Selangor), Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman), Daminic Tan (Sabah), Nor Azam Azih (Sri Pahang) dan Norshahrul Idlan Talaha (Melaka United). 

Pan-gon yang merupakan kelahiran Korea melengkapkan senarai ini dengan tiga pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Dion Cools (SV Zulte Waregem), Liridon Krasniqi (Odisha) dan Junior Eldstal (Chonburi).

Selain daripada 29 pemain ini, Pan-gon turut menyenaraikan 11 pemain yang diletakkan dalam Senarai Bersedia jika terdapat sebarang perubahan pada senarai nama 29 pemain di atas.

Sebelas pemain ini ialah Aidil Zafuan, Ramadhan Saifullah, Natxo Insa, Sahrul Nazeem Zulpakar, Shahrel Fikri, Zhafri Yahya, A. Selvan, Khatul Anuar, Rizal Ghazali, Shamie Iszuan dan Arif Fadzilah.

Dimaklumkan, Pan-gon akan mendaftarkan 23 pemain sahaja dalam senarai pendaftaran akhir bagi menghadapi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2021 kelak. 

Faetured Image: JOHOR Southern Tigers

komen